May 4, 2011

Duit Tebusan Belanja Kawin

Perunding tipu tunang hantar SMS minta RM47,000 kerana kena culik

KUALA LUMPUR: Terdesak akibat ketiadaan wang untuk melangsungkan majlis perkahwinannya, seorang perunding luar cuba menipu tunangnya sendiri dengan menghantar SMS menyatakan dia diculik bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM47,000 daripadanya.

Lelaki berusia 26 tahun itu menghantar SMS berbunyi ‘tunang awak diculik dan berada dalam tangan saya... untuk menyelamatkannya tunggu arahan seterusnya’ kepada tunangnya berusia 25 tahun yang bekerja di sebuah hospital swasta di Damansara kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.



Mangsa menerima SMS kedua kira-kira jam 10 malam yang memintanya memasukkan wang berjumlah RM47,000 ke satu akaun bank seperti diarahkan.
Bertindak atas laporan dibuat wanita itu sebaik menerima mesej pertama, polis berjaya mengesan lokasi suspek dan menahan seorang lelaki di Stesen KL Sentral pada malam sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata siasatan yang dijalankan mendapati SMS itu dihantar sendiri tunang mangsa dan tujuannya adalah untuk mendapatkan wang hantaran perkahwinan dengan cara mudah.

Katanya, suspek mendakwa terdesak untuk mendapatkan wang bagi majlis perkahwinannya yang dijadualkan dilangsungkan akhir bulan ini.

Tun Hisan memberitahu meskipun lelaki itu menipu tunangnya sendiri bagi mendapatkan wang, polis tetap memandang serius kes berkenaan dan suspek kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan culik. 


No comments: